Maya Karin dan Hatta Azad Khan di Mini Fest Kelantan

by Nyza Ayob
KOTA BHARU, 5 Dis (Hrkh)- Kerajaan negeri menafikan dasar yang dilaksanakan di Kelantan menyebabkan pawagam tidak lagi beroperasi di negeri ini, sebaliknya sambutan dingin mayarakat menyebabkan ia terpaksa ditutup.

Perkara ini dijelaskan Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Pendidikan, Sains dan Teknologi, Ustaz Mohamad Amar Abdullah sewaktu diminta mengulas mengenai penutupan pawagam di Kelantan, sewaktu sidang media selepas sesi dialog ‘Sinema Majid Majidi: Moral dan Kemanusiaan’ sempena Mini Fest Kelantan 2007 di Kota Darul Naim, semalam.

Mohamad Amar turut menyampaikan cenderahati kepada ahli panel sesi dialog tersebut.

Sidang akhbar itu turut disertai pengarah dan juga Dekan Fakulti Artistik dan Teknologi Kreatif, Universiti Teknologi Mara (UiTM), Profesor Dr Hatta Azad Khan serta pelakon Maya Karin.

Kedua-dua mereka ialah ahli panel dalam sesi dialog tersebut. Selain Hatta dan Maya, diskusi itu turut menampilkan pengarah Mamat Khalid sebagai ahli panel.

Mohamad Amar yang juga Pengerusi Mini Fest Kelantan 2007 menjelaskan, sebelum kerajaan negeri di bawah pimpinan PAS mengeluarkan dasar dan syarat seperti pengasingan antara penonton lelaki dan wanita dalam pawagam, sambutan terhadap pawagam sudah berkurangan.

“Kerajaan negeri Kelantan tidak mengharamkan operasi pawagam di negeri ini sebaliknya pawagam tersebut mati dengan sendirinya sejak adanya video cakera padat (VCD), ditambah dengan perkembangan pesat teknologi maklumat.

” Kerajaan Kelantan sejak di awal pemerintahan bersikap terbuka dengan hiburan di negeri ini dengan syarat tidak bertentangan dengan dasar-dasar agama,” katanya.

Ditanya rasional pemilihan filem-filem dari Iran untuk tayangan sempena Mini Fest 2007, jelas Mohamad Amar, kebanyakan filem dari dari negara tersebut boleh dijadikan panduan kepada produser filem supaya boleh menggunakan kreativiti untuk melahirkan filem-filem yang baik.

Sementara itu, menjawab soalan wartawan mengenai pendirian kerajaan negeri terhadap artis wanita yang datang ke negeri ini, jelasnya kerajaan negeri juga tidak memaksa dari segi pemakaian.

Malahan katanya, kerajaan negeri juga tidak mewajibkan mana-mana wanita yang ingin berurusan rasmi memakai tudung.

Bagaimanapun katanya, lazimnya kebanyakan wanita apabila berurusan dengan kerajaan negeri akan bertudung dan menghormati dasar kerajaan negeri.

Jelasnya lagi, pihaknya juga tidak menghalang sebarang pembikinan filem yang melibatkan artis wanita selagi menjaga batas-batas agama.

Beliau juga mengharapkan industri filem hari ini dapat melahirkan filem yang bermutu dan bersesuaian dengan kehendak agama.

Sementara itu, dalam sidang media yang sama, Hatta yang baru sahaja selesai menjalankan penggambaran filem berkaitan wayang kulit di negeri ini mengharapkan beberapa bentuk kesenian lain yang ada boleh dijelmakan dalam bentuk filem memandangkan Kelantan kaya dengan seni dan budaya.

Dalam pada itu Maya yang turut serta dalam sidang media tersebut tidak menduga diundang sebagai ahli panel dalam dialog walaupun ini merupakan penglibatannya buat kali kedua dalam sesi dialog seumpama itu.

“Penglibatan saya dalam dialog dan forum sekurang-kurangnya memberi peluang kepada saya melibatkan diri dalam program seperti ini, khususnya berkongsi dan mendengar pendapat orang ramai mengenai industri filem,” katanya.

Maya juga berpandangan sekiranya terdapat pawagam di negeri ini, sekurang-kurangnya kalangan pelakon sepertinya akan lebih kerap ke Kelantan untuk tujuan promosi filem.

“Selalunya apabila tengok senarai negeri yang akan diadakan promosi filem, saya agak kecewa bila tiada promosi di Kelantan, Terengganu dan Perlis kerana tiada pawagam.

“Saya tahu saya juga mempunyai peminat di negeri ini. Melalui surat-surat yang saya terima, ramai di kalangan peminat datangnya dari negeri ini,” katanya.

Mini Fest Kelantan 2007 yang berlangsung selama dua hari berakhir hari ini adalah pengorak awal bagi kelangsungan Festival Filem Islam Antarabangsa sempena Tahun Melawat Kelantan 2008.

Ia juga dianjurkan sempena lawatan pengarah filem Iran yang terkemuka dan mendapat pengiktirafan meluas seluruh dunia, Majid Majidi ke Kota Bharu.

Mini Fest Kelantan 2007 merupakan anjuran Kerajaan Negeri Kelantan dengan kerjasama Sekolah Animasi Darul Digital, Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandaraya Islam (MPKB-BRI), Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan (Jaheaik) dan Perbadanan Menteri Besar Kelantan.

Sempena Mini Fest 2007, tiga buah filem terbaik arahan Majid Majidi yang mendapat pengiktirafan seluruh dunia akan diadakan bertempat di Dewan Besar Balai Islam, Lundang, Kota Bharu.

Pada 4 Disember lalu, dua filem ditayangkan iaitu filem ‘Baran’ pada jam 3.00 petang dan filem ‘The Colours of Paradise’ pada jam 8.45 malam.

Sementara itu pada malam kemuncak iaitu 5 Disember, filem yang melonjak nama Majid Majidi di persada filem dunia dan memenangi anugerah filem terbaik di Montreal International Film Festival, ‘Children of Heaven’ akan ditayangkan.

Majid akan turut serta di majlis tayangan tersebut dan menyampaikan ucaptama sebelum tayang bermula. – tajdid

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s