PAS Kelantan bantu keluarga gadis dijatuhi hukuman mati

by Salmah Mat Husain

KOTA BHARU, 6 Disember (Hrkh) – Atas rasa tanggung jawab dan simpati terhadap ibu bapa malang Umi Slaia dan Mohd Lazim Jusoh, Badan Perhubungan PAS Kelantan bersetuju menguruskan tambang pergi dan balik kepada pasangan tersebut untuk berlepas ke Republik China.

Usaha ini dibuat bagi membolehkan keduanya menziarahi anak mereka Umi Azlim Muhammad Lazim, 24, yang dijatuhi hukuman mati oleh Mahkamah Tinggi Undang-undang Jenayah Guangzhou atas dakwaan mengedar dadah.

PAS Kelantan turut menyediakan seorang juru iring juga berbangsa Cina untuk membantu mereka sepanjang berada di sana.

Pesuruhjaya PAS negeri yang juga Menteri Besar, Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat, memberitahu selain itu juga pihaknya bersedia menguruskan pasport antarabangsa pasangan terbabit.

Beliau berkata demikian dalam satu sidang media selepas bertemu Muhammad Lazim, di JKR 10, di sini, tengahari semalam.

Turut hadir dalam sidang media itu, dua anggota exco kerajaan negeri, Dato’ Husam Musa dan Dato’ Takiyuddin Hassan.

Kata Tuan Guru, sebagai seorang ketua kerajaan beliau dukacita terhadap peristiwa itu apa lagi Umi Azlim dijatuhi hukuman mati.

“Bagaimanapun usaha untuk membantu keluarga ini harus kita ikhtiarkan dan saya yakin seratus peratus budak tu (Umi Azlim) dianiaya atau difitnah.

“Kerana itu kita bersedia membantu sekadar yang kita mampu dan kita juga bersedia menghantar khidmat guaman sekiranya perlu untuk membantunya seboleh mungkin terutama dalam tempoh dua tahun untuk membuat rayuan,” ujarnya lagi.

Sementara itu, Timbalan Pesuruhjaya PAS Negeri, Dato’ Husam Musa, memberitahu bagi mengiringi kedua ibu bapa terbabit, PAS turut menghantar seorang berbangsa Cina yang mengetahui selok belok negara terbabit.

“Kita tidak mahu nasib mereka malang lagi, setelah sampai di sana, tidak tahu ke mana pula ingin dituju apa lagi keduanya tidak pernah ke luar negara.

“Kerana itu kita turut menghantar seorang masyarakat Cina yang juga rakyat Kelantan membantu menguruskan mereka sepanjang berada di sana terutama sewaktu berurusan dengan pihak mahkamah di sana,” ujarnya lagi.

Jelas Husam, setelah segala persiapan siap diatur, ketiga-tiga mereka akan berlepas ke China pada 9 Disember ini.

Sehubungan itu, beliau berharap keluarga Umi Azlim tidak terus bersedih kerana usaha untuk membantunya sedang giat dijalankan.

“Sekiranya didapati Umi Azlim tidak bersalah oleh mahkamah beliau akan dibebaskan,” ujarnya.

Husam menambah kata, pada awalnya PAS hanya ingin menghantar bapa Umi Azlim sahaja, namun ibunya juga ingin menemui anaknya di sana.

“Kita faham hati seorang ibu, begitu rindu untuk bertemua anaknya, apa lagi dalam kes yang sebegini sebab itu kita bersedia memberikan tambang untuk mereka berdua,” ujarnya lagi.

Pada masa yang sama, PAS Kawasan Pasir Putih turut menghulurkan bantuan kewangan untuk perbelanjaan pasangan itu.

Mohd Lazim yang begitu terharu dengan bantuan PAS negeri tidak dapat meneruskan kata-kata bila diajukan soalan oleh wartawan bagaimana perasaannya terhadap keperihatinan parti Islam itu membantunya.

Majlis ringkas itu menjadi sunyi seketika apabila beliau tidak dapat meneruskan kata-kata sambil mengesat air mata.

“Terima kasih pada Tuan Guru dan pemimpin kerajaan negeri yang prihatin, saya minta maaf, saya sebak! Saya minta maaf banyak…,” ujarnya.

Mohd Lazim dan isterinya terkejut apabila anak perempuan sulungnya yang tidak dapat dikesan selama setahun telah ditahan di China atas tuduhan membawa masuk heroin ke negara itu pada 19 Januari lalu.

Lebih memilukan, apabila beliau mendapati anaknya telah dijatuhi hukuman mati oleh Mahkamah Tinggi Undang-undang Jenayah Guangzhou pada 15 Mac lalu.

Azlim diberikan tempoh dua tahun dari tarikh dijatuhi hukuman itu untuk membuat rayuan sebagaimana maklumat yang dihantar oleh pihak mahkamah negara berkenaan ke Wisma Putera.

Memandangkan kesusahan mereka itu PAS Kelantan bersedia membantu menguruskan kes anak mereka. – tajdid

Advertisements

One thought on “PAS Kelantan bantu keluarga gadis dijatuhi hukuman mati

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s