Kisah “Puteri Tak Dilindungi Bulan” dan “Puteri Keris” di Dun Negeri

by Bashir Ishak
Sudah terlalu lama penulis tidak membaca cerpen atau novel, malah untuk menghabiskan sebuah cerpen yang dikarang dengan pelbagai ragam bahasa kadang-kadang terasa amat menyusahkan. Malah ruangan tersebut pula akan menjadi satu kemestian untuk penulis ‘skip’ setiap kali membaca akhbar.

Ahad lalu (2 Disember), Exco Dewan Pemuda PAS Pusat, Ustaz Zolkharnain Abidin menghulurkan akhbar Berita Minggu kepada penulis.

“Anta baca cerpen ni, ada mesej yang baik,” katanya.

Cerpen bertajuk 10 Puteri Tak Dilindungi Bulan karangan penulis veteran, Dr Fatimah Busu ini tiba-tiba menarik minat penulis.

Mungkin kerana naluri ingin menyelami apakah maksud ‘bulan’ yang tersirat di sebalik cerpen ini membuat penulis ingin membaca.

Tidak tahulah apa yang dimaksudkan oleh pengarang cerpen frasa “tidak dilindungi bulan” itu. Namun di nota kaki cerpen diterangkan: Puteri Lindungan Bulan, sebuah cerita lisan Kedah Tua tentang seorang puteri keramat yang jadi rebutan Kerajaan Acheh. Dikatakan pusaranya sentiasa terlindung oleh cahaya bulan.

Bagaimanapun bagi penulis, erti bulan di sini mungkin lebih menjurus ke arah ‘bulan’ yang terdapat pada parti yang penulis dokongi ini.

“Kalau dibaca keseluruhannyapun memang ke arah tulah,” kata seorang sahabat yang turut membacanya.

Kepada Dr Fatimah yang mengarang cerpen tersebut, penulis mohon berbanyak maaf kerana cuba membuat huraian berkaitan cerpen ini mengikut versi sendiri.

Cerpen tersebut diserikan dengan rangkap-rangkap seumpama lagu rakyat terkenal 10 Budak Hitam disebalik kisahnya.

10 Puteri Tak Dilindungi Bulan
Bertemasya di Pantai Sri Pengkalan
Satu kena rogol beramai-ramai
Tinggal lagi Sembilan.

9 Puteri Tak Dilindungi Bulan
Berpesta seks – video lucah di apartmen
Satu sempat dicekup pencegah maksiat
Tinggal lagi lapan.

8 Puteri Tak Dilindungi Bulan
Pergi ke konsert Jom Heboh
Satu hilang ikut jantan
Tinggal lagi tujuh.

7 Puteri Tak Dilindungi Bulan
Jadi GRO di Kelab Nilam
Satu dibawa pulang oleh pelanggan dan dibunuh
Tinggal lagi enam.

6 Puteri Tak Dilindungi Bulan
Berpesta arak dan karaoke di kota
Satu terus jadi pelacur
Tinggal lagi lima.

5 Puteri Tak Dilindungi Bulan
Satu disuruh seludup dadah dan ditangkap
Tinggal lagi empat.

4 Puteri Tak Dilindungi Bulan
Bercinta dengan Mat Hitam Uganda
Satu sudah murtad hendak kahwin
Tinggal lagi tiga.

3 Puteri Tak Dilindungi Bulan
Terjebak dengan kumpulan bohsia
Satu ditangkap bunuh bayinya
Tinggal lagi dua.

2 Puteri Tak Dilindungi Bulan
Jadi Minah Rempit bersama Mat Kutu
Satu mati eksiden ketika lumba haram
Tinggal lagi satu.

1 Puteri Tak Dilindungi Bulan
Sangat-sangat susah hati
Termenung-menung seorang diri
Bagai ayam mabuk tahi
Rasa hidup sunyi sepi
Berkurung dalam bilik setiap hari
Ibu bapa tak ambil peduli sibuk ke sana sini
Lalu terjun dari pangsapuri
Langsung diapun mati

Bagi penulis, inilah dia gejala yang sering dilaporkan di dada-dada akhbar di negara kita, malah dihuraikan lagi kesan-kesannya di media alternatif seperti Harakah, di laman web, blog dan sebagainya.

Ternyata ianya sebuah cerpen yang menarik dan boleh dijadikan pengajaran. Dr Fatimah berjaya mengumpulkan pelbagai permasalahan sosial yang berlaku dalam masyarakat khususnya bagi remaja Melayu-Islam untuk dimuatkan dalam karangannya.

Cerpen ini adalah satu kritikan sosial yang mampu dihayati kerana menggunakan bahasa kontemporari yang bersahaja, sesuai dengan kehidupan harian masyarakat.

Tidak hairanlah bila Dr Fatimah menceritakan tentang cara berpakaian (baju singkat nampak pusat), kurangnya didikan agama, pergaulan bebas, Mat Rempit, buang bayi dan sebagainya.

Penulis melihat sudah berbuih mulut para tok guru, ustaz, pendakwah, penceramah (agama atau politik) bercakap tentang gejala sosial, hedonisme, keruntuhan akhlak muda-muda, murtad dan sebagainya, tapi ianya terus berleluasa. Mengapa ya?

Sebab itulah penulis cuba mengulas cerpen ini dengan erti ‘bulan’ versi sendiri.

Bila kita berada dalam ‘parti bulan’, keadaannya amat berbeza dengan parti lain khususnya ‘parti keris’. Bezanya dari segi matlamat perjuangan, kepimpinan parti, pengisian program dan banyak lagi hatta penampilan ahli khususnya kaum Hawa.

Parti ‘bulan’ bukan sekadar sebuah parti politik pilihan raya tetapi ianya juga sebuah gerakan Islam yang terangkum di dalamnya setiap aspek politik, tarbiyah, dakwah, kemasyarakatan, hubungan kaum, kenegaraan dan hubungan antarabangsa.

‘Parti keris’ pun mungkin tidak banyak perbezaannya tetapi penulis percaya tiada langsung aspek dakwah atau tarbiyah yang diterapkan kepada ahli mereka.

Justeru tanpa kekukuhan aspek keagamaan di dalam jiwa ahli, ‘parti keris’ akan mudah menghanyutkan sesiapa sahaja yang berada di dalam kelompok mereka.

Golongan muda yang berada dalam ‘parti keris’ akan mudah terpengaruh dengan dengan pimpinan parti, mudah diajak berbuat apa sahaja dan diindoktrinasikan pemikiran mereka dengan fahaman parti.

Baru-baru ini penulis menghadiri sidang Dewan Undangan Negeri Perlis yang diadakan di dewan yang baru disiapkan. Sudah tentu sidang Dun di tempat baru menarik minat ramai orang untuk hadir sebagai pemerhati termasuk sekumpulan Puteri Keris dan Putera Keris.

Ketika wakil parti bulan sedang berucap, beberapa orang Putera Keris sering mengejek-ejek apa yang diucapkan beliau, walhal ianya tentang masalah rakyat.

“Isy..Isy.. kalau bukan disebabkan kamu tu baru berumur belasan tahun dan kurang arif tentang keadaan sekeliling dah tentu aku jerkah hangpa semua,” bisik penulis di dalam hati.

Si Puteri Keris yang duduk tidak berapa jauh dari situ pun seperti mencebik-cebikkan muka tatkala mendengar ucapan wakil parti bulan.

Lantas terfikir, inikah dia golongan muda yang bakal mewarisi pemerintahan negara pada masa akan datang?. Terfikir juga, alangkah baiknya jika golongan muda dari parti bulan yang menrajui kepimpinan negara suatu masa lagi.

Penulis akui bukannya semua golongan muda dalam parti bulan itu orang-orang yang warak, tawaduk atau zuhud, tetapi apabila mereka sudah mahu bersama-sama parti inipun sudah dikira baik.

Bukannya tidak ada pemuda parti bulan yang ‘merempit’, melepak atau terjebak dengan pelbagai aktiviti kurang sihat. Orang muda macam tulah, mudah terpengaruh dengan perkara-perkara sedemikian.

Bagaimanapum penulis optimis dengan aktiviti-aktiviti parti bulan yang mendekati golongan muda, mereka boleh dijinakkan, boleh ditarbiyah dan diasuh, yang pentingnya berusaha dan bekerja.

Setidak-tidakpun, anak-anak muda yang mana ibubapa mereka adalah aktivis atau orang kuat parti bulan akan menjaga nama baik ibubapa mereka untuk tidak melakukan perkara-perkara yang boleh menggugat maruah keluarga.

Dipendekkan cerita, parti bulan ini adalh parti di mana orang-orang berada di dalamnya (mendokong atau menyokong) adalah mereka yang mahukan kebaikan, mahu kepada agama dan mahukan masyarakat di tadbir dengan mengikut al-Quran dan As-Sunnah.

Bezanya, ‘parti keris’ yang memerintah sekarang tidak pula menjurus ke arah itu. Di sebalik laungan kemajuan negara, pengukuhan ekonomi dan sebagainya akhlak golongan muda semakin teruk. Nilai moral dan pegangan semakin terhakis.

Apapun, sekiranya 10 Puteri itu dilindungi ‘bulan’, sudah tentu pelbagai masalah yang berlaku seperti yang dimuatkan di dalam cerpen tersebut dapat dikawal.Semoga negara ini juga akan dilindungi bulan sedikit masa lagi. – mnr

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s