Hampir 100,000 solat hajat pertahan kerajaan PAS Kelantan

by Wartawan Kita
TUMPAT, Jan (Hrkh) -“ Gesaan Datuk Seri Najib Razak supaya rakyat Kelantan menamatkan pemerintahan PAS tahun ini, bertukar sebaliknya, apabila hampir 100,000 hadir solat hajat mempertahankan kerajaan PAS malam 11 Januari yang lalu.

Akhbar The Star turut melaporkan 100,000 manusia hadir di program kali kedua di Kelantan itu selepas pilihan raya umum 2004.

Tahun lepas Ijtimak PAS Kelantan di Taman Rehlah, Semerak Pasir Puteh, jumlah kehadirannya hampir sama.

Mereka berpusu-pusu hadir pada solat hajat yang diadakan di Pantai Geting dengan diimamkan Menteri Besar, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Turut menunaikan solat hajat Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang, Timbalan Mursyidul Am PAS, Datuk Dr Harun Din, Naib Presiden PAS, Datuk Husam Musa, Setiausaha Agung PAS, Datuk Kamaruddin Jaafar dan Ketua Penerangan PAS, Haji Mahfuz Omar.

Lautan manusia sujud di atas pasir di tepi pantai dengan beralaskan sejadah di bawah langit terbuka dan tiupan angin malam yang menyamankan.

Biar pun kedudukan kawasan tersebut agak tersorok, namun ia tidak menghalang rakyat hadir beramai-ramai sehingga banyak kereta terkandas apabila tayar terjerumus ke dalam pasir.

Kereta yang terperangkap di dalam pasir, kemudian ditolak beramai-ramai sebagai segmen memanaskan badan sebelum program ceramah bermula.

Deretan kereta yang memanjang sehingga jam 12.45 pagi menghala ke jalan besar di Geting “ Wakaf Bharu, selepas selesai program ceramah.

Sebelum ini Timbalan Presiden Umno ketika datang ke Kelantan 3 dan 4 Januari lalu menyeru rakyat negeri ini menjadikan tahun 2008 sebagai tahun terakhir pemerintahan PAS.

“Perhimpunan malam tadi ternyata berjaya biar pun ia diadakan di kawasan agak terpencil. Ini menggambarkan semangat penyokong PAS dan rakyat Kelantan benar-benar bangkit bagi mempertahankan kerajaan di bawah kepemimpinan ulama.

“Sebelum ini saya percaya ramai yang belum sampai di Pantai Geting, namun malam tadi mereka tetap datang untuk bersama berdoa bagi mempertahankan kerajaan negeri,” kata Kamaruddin.

Beliau yang juga anggota Parlimen Tumpat memberitahu pada awalnya tidak menjangka kehadiran seperti malam tadi memandangkan ia diadakan di kawasan jauh dari bandar.

Yang Dipertua PAS Tumpat, Ustaz Wan Jamil Wan Mahmood turut melahirkan rasa puas hati di atas kehadiran begitu ramai rakyat Kelantan termasuk dari Gua Musang dan Jeli untuk bersama-sama memohon kepada Allah bagi mempertahankan kerajaan PAS.

“Saya terkejut melihat kehadiran yang begitu ramai. Ini memberi isyarat kepada Umno yang cuba bermatian-matian mahu merampas Kelantan,” katanya.

Program Pemimpin Bersama Rakyat itu diadakan bermula dengan solat Isya dan kemudian diikuti solat hajat.

Lautan manusia dengan muslimat yang berjubah putih berbaris panjang menunaikan solat, seolah-olah membayangkan mini Arafah ketika jemaah haji menunaikan ibadat di Makkah, baru-baru ini.

Tidak kurang juga dengan anak-anak muda memenuhi depan berhampiran pentas. Ramai memakai baju berwarna kuning berlengan hijau yang bertulis ‘Gelombang Kuning Semarak Hijau’.

Sebaik sahaja selepas solat hajat, orang ramai beredar ke pentas utama untuk mendengar amanat dan isu–isu semasa yang dikupas penceramah jemputan.

Ia dimulakan oleh Setiausaha Badan Perhubungan PAS Kelantan, Datuk Takiyuddin Hassan, kemudian Mahfuz, Tuan Guru Nik Abdul Aziz, Dr Harun dan Presiden PAS.

Hadir sama Timbalan Menteri Besar, Datuk Ahmad Yaakub, anggota-anggota Exco kerajaan negeri, wakil-wakil rakyat, Penyelia Dun dan Parlimen dan Bendahari Angkatan Muda PKR Pusat, Zamankhari Ibrahim.

Manakala anggota Unit Amal sibuk mengawal kawasan berhampiran pentas apabila orang ramai bergerak ke arah itu untuk melihat dari dekat pemimpin kesayangan mereka.

Seorang pakcik dari Pasir Mas masih berjalan ke sana ke mari mencari kenderaan yang ditumpangi ketika kenderaan lain perlahan-lahan meninggalkan Pantai Geting jam 12.30 malam.

“Pakcik tidak jumpa cari kereta tersebut. Tadi ketika datang rasanya melalui kawasan sekatan jalan raya yang ada polis. Tapi masih tak jumpa tempat di mana kereta diletak,” katanya yang terus meredah pasir mencari kereta terbabit.

Beberapa kumpulan anak muda berkopiah berjalan kaki melewati jam 1 pagi di jalan Geting – Chabang Empat Tok Mek Ngah biar pun kedudukannya agak jauh dari tempat ceramah. – mj

Advertisements

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s