Umno BN Kalah, Kini Mahu Balas Dendam Terhadap Rakyat

by Mat Zain Mat Isa

Nampak sangat para pemimpin Barisan Nasional terlalu kecewa atas prestasi buruk parti itu dalam pilihan raya umum lalu.

Kekecewaan itu paling menyerlah menerusi sikap ditunjukkan beberapa pemimpin utama Umno yang menjadi tulang belakang parti pemerintah itu.

Di saat para pemimpin parti-parti komponen BN, terutama MCA dan Gerakan menunjukkan profesionalisme masing-masing atas kekalahan parti mereka di beberapa negeri, sikap sama nampaknya gagal dikongsi para pemimpin Umno.

Pemangku Presiden Gerakan, Tan Sri Dr Koh Tsu Koon menerima pujian pelbagai pihak, kawan mahu pun lawan, atas sikap profesional dan matang beliau menerima hakikat kekalahan partinya dan dirinya, terutama di Pulau Pinang.

“Saya menerima keputusan dan pemilihan pengundi di kawasan ini. Saya ucapkan tahniah kepada calon yang dipilih iaitu Prof Dr P Ramasamy,” katanya selepas pengumuman keputusan pilihan raya bagi kawasan Parlimen Batu Kawan, di Seberang Perai, malam 8 Mac lalu.

Sebaik memastikan partinya dan BN tidak mungkin kembali memerintah Pulau Pinang, Koh mengambil inisiatif memaklumkan Yang di-Pertua Negeri agar menunggu surat rasmi daripada parti atau parti-parti gabungan yang telah menang majoriti dalam Dewan Undangan Negeri (Dun) mengenai calon ketua menteri serta perlantikan exco kerajaan negeri.

Penjelasan Koh itu mengejutkan para penonton tv malam itu. Bukan itu saja, Koh malah menyatakan bahawa beliau sendiri turut memaklumkan tindakannya itu kepada Pengerusi DAP Pulau Pinang, Chow Kon Yeow.

“Saya juga sudah menghubungi Pengerusi DAP (Pulau Pinang), Chow Kon Yeow mengenai perkara itu,” katanya.

Koh memberi jaminan proses transisi kuasa di negeri itu akan berjalan secara lancar dan sempurna. Kata itu memang dikotakannya.

Dalam beberapa hari berikutnya, rakyat Malaysia dapat menyaksikan bagaimana bekas ketua menteri yang berjiwa besar itu menjadi ‘hos’ yang baik kepada penggantinya, Lim Guan Eng.

Beliau sendiri ‘membukakan’ pintu Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang untuk dimasuki Lim. Beliau juga turut hadir menyaksikan upacara mengangkat sumpah jawatan oleh Lim.

Presiden MCA, Dato’ Seri Ong Ka Ting juga tidak kurang hebatnya. Beliau tidak kalah di Parlimen Kulai. Calon-calon partinya juga ramai yang menang.

Bagaimana pun secara keseluruhan partinya hanya mampu menang 15 daripada 40 kerusi parlimen ditandinginya. Ia suatu kemerosotan lebih dua kali ganda berbanding 31 kerusi yang dimenangi parti itu pada 2004.

Secara gentleman Ong menerima tanggungjawab atas kekalahan itu. Beliau bertegas menolak sebarang jawatan dalam kabinet.

Itu sikap dan kematangan ditunjukkan dua pemimpin parti komponen BN. Mereka bukan Melayu, bukan Islam. Lihat pula bagaimana reaksi dan sikap ditunjukkan pemimpin Melayu-Islam dalam BN atas kekalahan parti mereka.

Apakah jiwa bekas Menteri Besar Kedah, Dato’ Seri Mahdzir Khalid sebesar Koh untuk menyambut kedatangan penggantinya di pejabatnya di Alor Setar?

Apa pula komen atau keterbukaan ditunjukkan Dato’ Seri Tajol Rosli Ghazali, bekas Menteri Besar Perak? Beliau dilaporkan enggan ditemubual wartawan selepas mengetahui BN gagal mempertahankan kerajaan negeri.

Sikap ditunjukkan rakan sejawatnya di Selangor malah lebih mengundang perbualan masyarakat. Dato’ Seri Dr Mohd Khir Toyo dikatakan ‘hilang’ dan tidak dapat dikesan media untuk mendapat apa jua komen atau ulasan mengenai kekalahan BN di negeri itu.

Sehinggakan beredar meluas satu pesanan ringkas menerusi telefon satu jenaka mengenai kehilangan beliau itu.

Jelas sekali para pemimpin Umno tidak dapat menyembunyikan perasaan kecewa dan marah mereka atas kekalahan menimpa BN. Bagaimana mungkin nak diharapkan mereka ini akan terus memberikan sumbangan bermakna untuk negeri masing-masing di atas kapasiti sebagai pembangkang?

Tambah mendukacitakan, perasaan marah itu turut diterjemahkan dalam bentuk tindakan membalas dendam. Sudah ada tanda-tanda bahawa rakyat yang menolak BN akan dihukum. Kenyataan beberapa pemimpin Umno kebelakangan ini menjelaskan maksud mereka itu.

Slot berita Buletin Utama, di TV3 malam tadi (Khamis, 13 Mac) melaporkan Badan Perhubungan Umno Pulau Pinang telah memanggil mesyuarat khas parti itu semalam.

Turut disiarkan kenyataan Setiausahanya, Dato’ Azhar Ibrahim mengenai keputusan diambil Umno negeri itu berkaitan kelangsungan projek-projek mega di situ.

“Kita mengesyorkan kepada kerajaan Pusat menghentikan semua projek mega dan projek-projek yang dirancang kerajaan Pusat di negeri ini. Biar kerajaan hari ini yang merancang untuk penduduk. Rakyat Pulau Pinang yang mahukan pemimpin baru di negeri ini,” itulah lebih kurang kata beliau, sebagaimana disiarkan TV3 malam tadi.

Nah! Bukankah itu tindakan balas dendam politik namanya? Mana pergi jiwa besar para pemimpin Umno sehingga tidak bersedia menerima kekalahan? Ataukah mereka ini memang jenis manusia yang sentiasa meletakkan diri mereka lebih hebat dari orang lain?

Akhbar Berita Harian, Rabu (12 Mac) pula ada memetik kenyataan Ketua Menteri Melaka, Dato’ Wira Mohd Ali Rustam yang turut memberikan gambaran serupa. Dalam kenyataan dibuatnya selepas mengangkat sumpah jawatannya, Mohd Ali memberi jaminan kerajaan pimpinannya akan meneruskan semua projek pembangunan seperti dijanjikan bagi memastikan wawasan Melaka Maju 2010 tercapai.

“Ini termasuk projek yang sudah diluluskan di Parlimen Kota Melaka meski pun pengundi memberi kemenangan kepada calon DAP. Tapi kalau projek baru, saya terpaksa berfikir dua kali sebelum melaksanakannya,” akhbar itu memetik kata Mohd Ali.

Akhbar The Star di hari sama mendedahkan kenyataan beliau yang lebih panjang. Di bawah tajuk utama mukasurat 12, berbunyi “CM: Projects may be disrupted”, Mohd Ali dipetik sebagai berkata beliau akan berfikir dua kali untuk melaksanakan sebarang projek baru di Bandaraya Melaka memandangkan kawasan itu dimenangi DAP.

“We wanted to develop it further but the rakyat is not so interested. If there are new things (project), maybe I have to think twice,” akhbar itu memetik kata Mohd Ali.

Beliau turut dilaporkan berkata semangatnya untuk membangunkan bandaraya tersebut kini pudar disebabkan pendirian pengundi kawasan itu yang menolak BN. Wajarkah rakyat dihukum sebegitu kerana menggunakan kuasa undi mereka?

Itu belum lagi seluruh negeri Melaka jatuh ke tangan pembangkang. Bayangkan apa yang pemimpin seperti ini akan lakukan sekiranya kerajaan negerinya juga kecundang?

Jangan lupa Mohd Ali ini juga lah yang telah mengharamkan sebarang rombongan pegawai dan kakitangan kerajaan negerinya ke Kelantan dan Terengganu sewaktu kedua-dua negeri diperintah PAS pada 2000 dulu. Beliau bahkan turut membatalkan kontrak panel beberapa firma guaman yang disyakki dimiliki penyokong pembangkang di negerinya.

Sikap balas dendam Mohd Ali itu bagaimana pun tidak begitu diperkatakan orang ketika itu. Di masa sama berlaku satu lagi episod balas dendam oleh Umno Terengganu yang jauh lebih besar, iaitu perampasan royalti petroleum daripada kerajaan negeri Terengganu pimpinan PAS.

Tiada pihak dapat menafikan betapa Umno Terengganu lah yang menjadi punca perampasan itu. Ia bermula desakan perwakilan Umno Terengganu di Perhimpunan Agung Umno tahun 2000 agar pembayaran royalti minyak kepada negeri itu dihentikan.

Dalam ertikata lain, oleh kerana rakyat Terengganu telah memilih PAS, biarlah PAS yang mencari sendiri sumber pendapatan negeri. Umno mendakwa royalti adalah hak kerajaan BN sahaja. Rakyat Terengganu wajar dihukum kerana menolak BN.

Kini, bayangan tindakan serupa sudah menampakkan diri, terutama di beberapa negeri diperintah PAS, Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP. Meski pun transisi kuasa di Pulau Pinang dilangsungkan secara baik oleh Gerakan, ia tidak diterima sebaiknya oleh Umno.

Kita tidak tahu apa pula tindakan bakal disusuli Umno Kedah, Selangor mahu pun Perak terhadap kerajaan negeri masing-masing selepas ini. Apa yang pasti, para pemimpin parti itu jangan marahkan rakyat jika Umno digelar sebagai ‘parti pendendam’.

Advertisements

2 thoughts on “Umno BN Kalah, Kini Mahu Balas Dendam Terhadap Rakyat

  1. Selepas menerajui Negara ini lebih 50 tahun dan merupakan gabungan parti Komponen yang telah mantap dari segi keperibadian , pemikiran dan kepimpinan yang boleh dibanggakan, para pemimpin komponen Barisan Nasional seharusnya lebih matang dalam mengeluarkan sebarang kenyataan. Jika beginilah sikap yang dimiliki oleh para pemimping BN masa kini, ternyata status dan taraf pemikiran pemimpin BN amnya dan UMNO khasnya tak lebih dari pemikiran kanak kanak TADIKA.

    Kekalahan atas sebab kerana Rakyat telah membuat pilihan untuk melihat perubahan dengan mengundi parti Alternatif , tidak harus dihukuman dengan cara membalas dendam dengan mengeluarkan kenyataan akan menarik balik apa janji janji yang telah dikeluarkan sebelum ini. Apa ni….Buruk Siku namanya ni.

  2. pru 12 kalin ini kita dapat melihat sendiri wajah sebenar pemimpin melayu dalam parti umno, bila kalah tunding jari, tak mengaku kesilapan sendiri, dan yang paling teruk sanggup tuduh rakyat, kata rakyat tak ingin pembangunan, tak kenang jasa,..sedarlah rakyat bukan tolak pembangunan, yang rakyat tolak calon sahaja, dan sentiasa ingatlah wahai pemimpin umno, duit yang digunakan untuk projek2 bn itu adalah duit rakyat malaysia, baik yang pangkah DAP, PAS, PKR dan BN jugak, maka pembangunan adalah hak rakyat, parti pemerintah hanya sebagai pengurus sahaja, jangan balas dendam pada rakyat!

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s